Koleksi Tengkolok,Tanjak,Destar

Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.
Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas.
Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.
Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang.
Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan.
Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.
Sejarah pemakaian tanjak di Perak pula dikatakan berasal dari sejarah lagenda kedatangan Sultan Muzaffar untuk ditabalkan di negeri Perak.
Mahkota raja yang dipakainya dibuang ke laut kerana perjanjian dengan penjaga laut untuk terus mudik ke negeri Perak. Pakaian kepala kemudiannya direka untuk mengantikan mahkota raja dan dipanggil tengkolok raja.
Jenis Lipatan Tanjak
  • Dendam Tak Sudah
  • Belalai Gajah
  • Setanjak Balung Raja
  • Sarang Kerengga
  • Sekelungsung Bunga
  • Ketam Budu
  • Kacang Dua Helai Daun
  • Solok Timba
  • Mumbang Belah Dua
  • Sekolongsang Bunga
  • Cogan Daun Kopi
  • Balung Ayam
  • Ayam Patah Kepak
  • Pucuk Pisang
  • Buana
  • Sering
  • Getam Pekasam
  • Anak Gajah Menyusu
  • Pari Mudek
  • Lang Menyusur/Menyonsong Angin
  • Lang Melayang
Corak
Corak berteraskan tumbuh-tumbuhan jelas pada nama beberapa tanjak seperti Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga, Cogan Daun Kopi.
Pengaruh haiwan pula terpancar pada nama-nama seperti Balung Ayam, Ayam Patah Kepak, Pari Mudek, Lang Menyongsong Angin dan Lang Melayang.
Mengikat Tanjak
Cara mengikat tanjak pula bergantung kepada kedudukan orang yang memakainya. Lebih tinggi statusnya, lebih indah dan banyak lipatan kain pada tanjak itu.
Kalau raja, penghujung tanjak pasti tinggi dan tajam, iautu melambangkan darjat dan kuasanya. Kalau pendekar, ikatannya lebih kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya.
Langkah Melipat Tanjak
  • Langkah bermula
  • Risik melangkah
  • Risik bertemu
  • Cincin dikembang
  • Lambai kasih
  • Kasih berjawab
  • Kasih bermula
  • Bertemu kasih
  • Gelombang kasih
  • Lambaian kasih
Dengan kepelbagaian cara membentuk dan mengikat tanjak, menggambarkan betapa tingginya daya penciptaan pereka-pereka bentuk tanjak tradisi Melayu.
Keindahan dan kesenian reka bentuk tanjak masih terpelihara dengan baik dan utuh meskipun zaman silih berganti dan kepentingannya dalam masyarakat moden sudah berkurangan.